Rabu, 1 Oktober 2014

rumah bujang sardin

Masa lapor diri ke Matrik UUM aku menyewa sebuah rumah di Taman Mahsuri
 di BandarDarulaman.Dulu Bandarbaru Darulaman , agaknya dah lama ,perkataan baru itu hilang sendiri.Ia terletak lebih kurang 4 km dari Jitra dan di situ juga terletak Institut Pendidikan Darulaman ( IPDA )dan Tamansiswa UUM.IPDA dan Tamansiswa UUM itu memang tempat aku belajar dan mendapat ijazah pertama pada tahun 1984 -1989 dan Tamanisiswa itu tempat penginapanku.Apabila UUM mendapat kampus induk/tetapnya di Sintok , UUM di serah kepada IPDA.

Banyak kenangan aku di kedua-dua tempat tersebut.Maklumlah tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat belajar selama hampir lima tahun.Perkara ini  akan ku cerita di tempat lain nanti.Sekarang aku nak cerita bab Taman Mahsuri.Semua orang Kedah tahu siapa Mahsuri  dan sejarahnya.Taman ini sengaja ambil sempena nama sahaja.Tidak ada kaitan lain.

Masa  tu aku menyewa dengan beberapa orang geng bujang lain yang sama belajar dengan aku semasa buat Diploma Pendidikan di UKM.Kalau tak silap Zulkifli Montak,  Aziz Kulop Saad, Bahrin Sudir, Asmadi Madjan  dan aku. Bilik ada tiga  dan kami dua oranag sebilik.Aku ambil bilik
tengah bersama Aziz . Tapi Zul Montak lebih selesa di ruang makan tengah.

Kami ke UUM masa tu berulang dengan menyewa bulan Ford Econovan  Mohd Idris.Selalunya kami pergi awal pagi sebab kelas mula jam 7.30 dan perjalanan ambil masa lebih kurang sejam. Selalunya Idris yang drebar berganti dengan cik gu dari Terengganu  ( lupa pula namanya).  Selalunya kami bujangni apa lagi sambung tidur sewaktu pergi dan balik.Memang lena habis dibuai mimpi lagi.Maklumlah jarak dan masa memang selesa untuk projek awal pagi dan awal petang ..tidur..

Masa di sini ada seorang jiranku bekas jurulatih semasa aku menjadi PALAPES di UUM dulu.Kalau tak silap Staf Sarjan Ali. Orangnya tegap gelap dan misainya tebal ular sawa.Tetapi beliau ini peramah dan pandai berbual dan mengambil hati pelanggan.Dia buka gerai makan dihadapan  rumahnya.Jadi senanglah kami orang bujang yang tak tahu dan tak rajin masak ni  menjamu selera.

Taman Mahsuri ni betul- betul berhampiran jalan besar.Cukup senang untuk mendapat kenderaan  ( bas, teksi,teksi sapu ) sama ada nak ke Jitra dan ke utara atau ke  Alor Setar , Pulau Pinang dan ke  selatan. Masa aku kahwin dalam  cuti penggal  dua minggu selepas melaporkan diri.Jadi sempat pada minggu terakhir aku berbulan madu di rumah bujang sebab masa tu semua orang balik kampung.Tapi memang sengkek habis.Maklumlah baru kerja  dan dapat advance RM 500.00 untuk cover cost kahwin ,balik cuti dan balik semula ke Kedah,Tetapi alhamdulillah dengan duit banyak tu aku dan isteri dapat merayakan bulan madu di Pulau Pangkor dua tiga hari sambil berziarah ke rumah saudara mara memperkenalkan isteriku  di Ipoh, Pantai Remis, Bruas dan keliling kampung.

Masa seminggu sebelum buka sekolah aku balik  semula ke Taman Mahsuri.Buat pertama kalinya isteriku anak jati Selangor merasa menjejakkan kaki ke Kedah.Dia pernah ke Pulau Pinang semasa berziarah ke rumahku di Perak beberapa bulan sebelum berkahwin.Tetapi masalahnya isteriku anak bungsu.Apa lagi , kejap-kejap rindukan maknya. Tapi mujurlah dia tak meraung hendakkan maknya macam budak kecil rindukan susu emak.

Aku bawak dia pusing-pusing Jitra dan Alor Setar.Masa tu kedua-duanya taklah besar dan sibuk macam sekarang.Kadang-kadang aku bawa dia tengok wayang di Alor Setar dan balik dengan bas terakkhir..Tengah malam baru sampai ke rumah.Cuma untungnya dalam rumah rumah cuma kami berdua sahaja...Bila buka sekolah aku membawa isteriku masuk ke rumah warden /felo di Kolej MISC.Masa pindah  bawa beg pakaian dan dua timba sahaja.Maklumlah orang baru kahwin.

Taman Mahsuri akan ku kenang sebagai tempat bersejarah awal perkahwinanku yang penuh madu dan cabaran .Perit juga memulakan hidup berdua dalam keadan yang serba-serbi kekurangan.Tetapi dalam kekurangan itulah terpancar kelebihan dan nikmat hidup anugerah Ilahi.Jadi pasangan bujang jangan takut untuk berkahwin.Kerana Rasulullah menjanjikan bahawa orang yang berkahwin itu akan dicukupkan oleh Allah s.w.t  segala keperluannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan